Wednesday, July 18, 2007

Definisi Belia

DEFINISI BELIA

Definisi atau pentafsiran konsep belia mempunyai perbezaan tertentu mengikut orientasi disiplin dan kepentingan kajian. Misalnya dari segi pendidikan, ia sering digabungkan dengan pentafsiran terhadap konsep remaja. Topik ini pernah mendapat perhatian penting pakar-pakar pendidikan sekitar tahun 1930-an, malah sehingga menjadikan, buat beberapa lama, konsep belia itu tidak dianggap penting. Walaubagaimanapun, didapati bahawa remaja sebagai satu konsep kumpulan manusia sememangnya mempunyai keselarasan dan sedikit sahaja perbezaannya daripada konsep belia. Dalam tahun 1944 umpamanya, National Society for the Study of Education, sebuah yayasan akademik di Universiti Chicago, USA merumuskan maksud remaja kepada golongan individu yang mencapai peringkat umur akil baligh; sekitar 12 atau 13 tahun hingga umur 17 atau 18 tahun; iaitu sehingga peringkat awal perkembangan fizikal dewasa yang lazim.

Pentafsiran demikian adalah terbatas dan konvensional. Sebenarnya konsep belia adalah sesuatu yang kompleks dan ill-defined, malahan penyelidikan mengenainya dianggap sebagai a timely topic yang banyak potensinya untuk dikaji secara ilmiah dengan menggunakan pelbagai kaedah dan disiplin. Ia bersangkut-paut dengan banyak unsur lain seperti perundangan, sosial, dan fisiologi iaitu selain unsur biologi dan kronologi.

Jika konsep belia itu hanya didasarkan semata-mata pada kriteria paling umum, iaitu fakta umur sahaja, maka secara langsungnya pula ia berkaitan dengan perkembangan hayat atau pusingan hidup seseorang individu. Pertimbangan ini menjadikan penggolongan dan susunan penduduk itu biasanya terbahagi dalam tiga kategori besar; iaitu peringkat kanak-kanak, orang muda, dan orang tua atau dewasa. Kanak-kanak dimaksudkan pada kumpulan umur bayi hingga remaja atau akil baligh. Orang muda atau belia menjadi kumpulan umur perantaraan antara kumpulan umur kanak-kanak dengan kumpulan umur dewasa. Sedangkan peringkat dewasa pula dimaksudkan kepada kumpulan umur orang-orang tua.

Pemeringkatan kumpulan umur seperti ini terkemuka di mana-mana kerana ia membayangkan pula peranan seseorang anggota kumpulan sendiri. Dalam masyarakat tradisional umpamanya, setiap peringkat umur harus tergabung padanya tanggungjawab dan peranan sosial yang jelas, yang tidak harus pula disalahgunakan di luar ketentuan dan batasan nilai kehidupan mereka. Misalnya seperti yang dijelaskan oleh S.N Eisenstadt (1956) mengenai masyarakat Nandi dan Masai di Afrika Timur. Dalam suku kaum Nandi itu, setiap orang lelaki diperingkatkan hayatnya dalam tujuh set umur, bermula dari dua peringkat umur kanak-kanak dengan diikuti oleh satu peringkat umur ’pahlawan’ dan disusuli pula dengan empat peringkat dalam kumpulan umur dewasa. Pada setiap peringkat umur ini mempunyai peranan sosial dan kedudukan masing-masing kerana :

...Membership in age sets is a basic indicator of one’s

social status and is a basic prerequisite for the attainment

of full social status…

Oleh itu, dengan berkedudukan dan berperanan sebagai pahlawan atau di peringkat orang muda tersebut, mereka yang berkenaan mempunyai beban tugas khusus seperti menjaga keselamatan dan mempertahankan kumpulan daripada sebarang ancaman luar. Sebaliknya golongan dewasa lebih dipentingkan dalam urusan-urusan advisory dan juridical.

Dalam masyarakat semasa pula, pemeringkatan umur ini menjadi lebih jelas lagi dengan adanya perkiraan umur berdasarkan calenderical years. Pemeringkatan ini tidaklah lagi mementingkan sesuatu rites de passage seperti yang terdapat dalam kebanyakan masyarakat tradisi. Pemeringkatan yang lebih teliti ini dikaitkan pula dengan peranan dan satu-satu kedudukan sosial yang lebih universal sifatnya. Sebagai contoh, pada peringkat kanak-kanak, seseorang dijangkakan terlibat dalam persekolahan atau pembelajaran dan bukannya berperanan sebagai seorang dewasa yang biasa.

Demikian juga diperakukan bahawa di peringkat ini undang-undang tidak membenarkan mereka menjawat apa-apa jawatan bergaji, apatah lagi untuk menjadi buruh. Biasanya, peringkat umur kanak-kanak itu, seperti yang dibuat oleh pihak UNESCO (1969) dalam had lingkungan umur antara 0 hingga 15 tahun; peringkat remaja dan belia pula pada had umur antara 15 hingga 25 tahun. Sedangkan had umur yang selebihnya iaitu 25 tahun ke atas dianggap sebagai umur dewasa. Penggunaan peringkat kronologi umur ini juga diamalkan oleh kebanyakan agensi kerajaan dalam menentukan susunan demografi negara dan juga untuk tujuan lain seperti persekolahan dan projek pembangunan sosioekonomi yang lainnya. Misalnya, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan Malaysia menggolongkan orang-orang yang berusia antara 15 hingga 30 tahun sebagai golongan belia, sedangkan lingkungan umur 15 tahun ke bawah sebagai golongan kanak-kanak dan yang melebihi 30 tahun sebagai golongan dewasa.

Sehingga hari ini, takrifan ke atas golongan belia yang masih digunakan oleh Kementerian Belia dan Sukan Malaysia ialah bagi rakyat yang berusia antara 15 hingga 40 tahun. Pengkelasan ini bagaimanapun adalah tidak seragam antara pelbagai negara. Di kalangan sebilangan negara anggota Komanwel sendiri misalnya, wujud perbezaan tertentu seperti yang ditunjukkan di bawah ini :

NEGARA

TEMPOH UMUR BELIA

Bangladesh

Brunei Darussalam

India

Hong Kong

Pakistan

Singapura

Sri lanka

15 – 30 tahun

15 – 35 tahun

15 – 34 tahun

10 – 24 tahun

18 – 30 tahun

15 – 30 tahun

15 – 29 tahun

Penggolongan usia belia yang diberikan di atas jelas memperlihatkan jangkauan hayat yang lebih besar dan lama digunakan di Malaysia berbanding dengan beberapa buah negara rakan dalam Komanwel yang lain. Yang digunakan di Hong Kong juga nampaknya tidak begitu sesuai kiranya dilihat umur permulaannya iaitu 10 tahun. Umur 10 tahun lazimnya dikira masih di peringkat kanak-kanak atau awal remaja. Sungguhpun begitu, dalam kebanyakan urusan rasmi, jangkauan umur itu hanya dibatas pada lingkungan 15 hingga 25 tahun sahaja. Hal ini dilakukan demikian sebagaimana yang lazim digunakan oleh kebanyakan negara dan selaras dengan amalan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu. Sementara itu, fungsinya pula bertujuan untuk memudahkan pihak-pihak perancang dan berkuasa merancang dan membuat unjuran tertentu dalam membangun dan menggerakkan tenaga golongan berkenaan bagi memenuhi matlamat dan juga kepentingan negara umumnya.

Sehubungan dengan ini juga, penggolongan demikian lebih menyenangkan sesuatu dasar diputuskan bagi memenuhi keperluan golongan ini. Salah satu yang penting dalam hal ini ialah berkenaan dengan data dan maklumat penduduk, baik dalam bentuk perangkaan serta saiznya mahupun dari segi membuat unjuran tertentu dalam konteks masa depan sesebuah negara. Hal ini tidak terkecuali bagi Malaysia sendiri, misalnya dalam usaha memajukan negara dan membina masa depan golongan belia sejajar dengan usaha-usaha yang dirancang bagi memenuhi matlamat menjadi negara maju sebagaimana yang digariskan dalam Wawasan 2020.

Sementara itu, beberapa definisi mengenai belia, baik dari apa perspektif pun, lebih menganggapnya sebagai suatu peringkat peralihan atau perantaraan antara peringkat kanak-kanak dengan peringkat dewasa atau orang tua. Misalnya seperti yang dikemukakan oleh James S. Coleman (1974) yang mengatakan :

...Youth... an age-grade (between 14-24) and the societal process

of transposing each generation from childhood to adulthood. The

process and youth come to completion when the young person

demonstrate a secure adoption of adult roles in work and family

life. In this sociological sense, youth is clearly a stage of transition

and preparation encountered by all the young of a society…

Coleman tidak hanya menganggap belia sebagai peringkat peralihan tingkat umur, malahan dari segi kejiwaannya pula dihubungkan dengan proses penyediaan seseorang untuk melangkah dan memasuki peringkat dewasa. Proses penyediaan ini melibatkan proses sosialisasi dan pemupukan kesedaran terhadap alam kehidupan mengenai keluarga, kuatkuasa, kepimpinan, dan lain-lain yang berguna untuk menghadapi wadah hidup yang berikutnya. Kenniston mengutarakan konsep belia itu sebagai :

… a psychological stage of development emerging between

adolescence and adulthood and characterized by relatively

specific dimensions of consciousness.

Demikian juga pandangan yang dikemukakan oleh De Souza dan Robeiro mengenai konsep belia :

...a stage in the process of personal evolution, marked by chronological

stages and assumed and redefined socially…

Ketiga-tiga pandangan ini mempunyai satu persamaan yang jelas iaitu menganggap belia sebagai satu peringkat hidup yang dialami oleh setiap manusia. Dalam masa yang sama, peringkat ini berfungsi untuk memperlengkap, menyedar, dan mendoroong seseorang untuk menghadapi hidup di peringkat yang berikutnya, iaitu peringkat dewasa. Unsur-unsur kejiwaan, sosial, personal evolusi yang terdapat dalam petikan di atas mengakui bahawa belia adalah fenomena sejagat yang mempunyai proses dan perkembangannya yang tertentu.

Pendekatan ke atas konsep belia yang demikian lebih praktikal. Pertama, pemeringkatan sedemikian memudahkan pembahagian umur penduduk sesebuah negara dibuat secara clear-cut. Dengan itu, keduanya pula, pembahagian tersebut akan lebih memudahkan sesuatu polisi, ketetapan, dan perancangan dibuat bagi memenuhi dan mengatasi pelbagai keperluan serta kekurangan yang terdapat pada setiap kumpulan itu. Tegasnya, dengan mempunyai pembahagian sedemikian, polisi dan pelaksanaan rancangan golongan ini dapat lihat dari sifat mereka yang resah gelisah, marah-marah, dan tidak tentu selain berkedudukan sebagai golongan yang berpotensi, lebih produktif, lebih aktif, dan perlu digerakkan ke dalam kegiatan yang menguntungkan masyarakat itu sendiri, baik pada masa ini mahupun pada masa akan datang. Sehubunagn dengan itu juga, penggolongan tersebut mengambil kira fakta sejarah, psikologi, ekonomi, politik, serta sosiobudaya yang bersangkutan dengan golongan tersebut.

Walaupun aspek pentafsiran yang kedua ini lebih liberal, sehingga dewasa ini, konsep belia itu tetap dihubungkaitkan dengan pemeringkatan umur di kalangan penduduk. Maka, atas dasar ini pula, tanggapan yang mengatakan belia sebagai golongan yang tidak pasti, tidak mantap, dan perlukan bimbingan dan bantuan, tetap dijadikan dorongan utama bagi kebanyakkan negara untuk berusaha mengatasinya. Akibatnya, setiap masyarakat berusaha untuk menaja dan mengambil inisiatif tertentu untuk mengawal tenaga belia dan menggunakannya sebaik mungkin dalam kegiatan perkumpulan dan kemasyarakatan yang sesuai sekaligus menguntungkan. Keadaan ini termasuklah campur tangan pihak kerajaan dalam menajai, memberikan bantuan, serta bimbingan tertentu dalam organisasi belia. Lagipun, pelbagai harapan dan cabaran adalah tertumpu pada golongan ini. Sesungguhnya belia umpama berlian. Mereka merupakan aset mahal bagi mana-mana negara kerana mereka adalah golongan dominan dan berpengaruh, kuat, dan berdaya tahan.

SEKIAN,TERIMA KASIH.

No comments: